Uwais yang terakhir beri persetujuan hubungan Shuib dan Watie

2,020 views

Selebriti Shuib telah pun selamat bertunang dengan pasangannya iaitu Watie Hanifiah pada hujung minggu lalu. 

Pasangan ini bertunang dengan kehadiran semua ahli keluarganya. Majlis pernikahan dijangka akan diadakan pada bulan Jun, bulan depan. 

Sepanjang proses perkenalan dengan Watie, apa yang paling penting bagi Shuib ialah penerimaan anak-anaknya terhadap pilihan hatinya iaitu Watie. 

Shuib mahu semua anak-anak bersetuju, sebelum membuat keputusan berkahwin dengan Watie. 

Jelas Shuib lagi, anak sulungnya iaitu Uwais merupakan yang terkahir memberi persetujuan. 

“Sungguhpun anak-anak saya ni semuanya masih kecil, mereka cepat menjadi dewasa dengan keadaan yang mereka lalui.” 

“Semua yang saya nak buat, saya akan berbincang terlebih dulu dengan anak-anak. Paling penting ialah Uwais sebab dia anak yang paling sulung dan mula faham tentang banyak benda.”  

“Sememangnya Uwais merupakan anak terakhir saya tunggu untuk dia beri persetujuan.” 

Tentang baju Uwais yang tak sama padan dengan yang lain di majlis pertunangan, Shuib memberi jawapannya.

“Ramai yang tanya mengapa Uwais pakai baju warna lain di hari berkenaan. Ini kerana baju dia yang saya dah sediakan pada dua minggu sebelum raya itu, iaitu baju Melayu berwarna hijau neon itu, dah tak muat untuk Uwais pakai. Tak dapat nak masuk bahagian seluarnya.”

Jelas Shuib lagi, dia tetap mempunyai ruang yang istimewa buat arwah Siti Sarah malah Watie juga menerima hakikat berkenaan.

“Siti Sarah tetap ada ditempat yang istimewa dalam hidup saya, malah Watie pun tahu tentang hal berkenaan.” 

Kata Shuib lagi, dia memilih untuk berkahwin adalah demi untuk keluarganya dan juga anak-anak. 

“Kena berbalik pada niat untuk kahwin. Saya buat ini semua demi untuk anak-anak, kalau ikutkan saya lebih senang membujang saja.”  

“Tetapi saya ada tanggungjawab yang besar dan dah tentunya arwah juga mahu saya besarkan anak-anak kami dengan baik.”

Sebelum ini Shuib telah bernikah dengan Siti Sarah pada tahun 2011 dan mempunyai empat cahaya mata. 

Anak-anaknya ialah Uwais Alqarni, 11 tahun, Dzahira Talita Zahra 9 tahun, Ariq Matin 6 tahun dan paling bongsu, Ayash Affan, yang kini berumur 2 tahun. 

Shuib kehilangan Siti Sarah buat selamanya pada tahun 2021.